Kepintaran dan kebijaksanaan politik bukan hanya terletak pada kedudukan semata mata sebaliknya ketajaman dan penguasaan emosi secara komperehensif adalah penjenamaan sebenar bagi seseorang pemimpin. Dalam konteks ini Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hasan atau pemimpin kami kagumi dengan gelaran Tok Mat adalah cermin sebenar bagi kami sebagai seorang pemimpin yang realistik mengikut acuan pembangunan negara serta mempunyai keupayaan dalam membawa rumpun kesatuan yang teguh dikalangan Rakyat Malaysia. Saya bagi mewakili Pergerakan Pemuda MIC Negeri Sembilan menabik hormat ke atas kenyataan Tok Mat berhubung pendirian beliau yang tidak setuju bagi UMNO dan PAS bergabung sebagai satu parti sebagaimana yang dilaporkan dalam BH On-line bertarikh 19 Nov 2018.
Saya amat menghormati PAS sebagai rakan blok pembangkang serta komitmen PAS yang kian dilihat lebih terbuka dalam memperjuangkan kebajikan warga bukan Islam di negara ini. Perkara ini lebih jelas apabila President MIC YDP Tan Sri Dato Sri SA Vikneswaran telah memperkukuhkan jalinan politik dengan PAS demi aliran pola politik yang lebih mantap. Walau bagaimanapun, ianya masih belum menjadi tanda yang signifikan bagi penerimaan UMNO dan PAS sebagai satu parti tunggal khususnya dikalangan anak muda berbangsa India. Genggaman UMNO dan MIC begitu erat melampaui lebih 60 tahun dan telah bersama sama mengharungi segala liku dunia politik demi kesejahteraan Rakyat serta pembangunan negara sehingga ke tahap yang digeruni pada hari ini.
Justeru, dugaan politik yang melanda BN pada hari ini adalah hasil kekejaman media moden yang mempesongkan realiti sebenar dan menjadi pahat yang mengikis ketelusan BN dalam membela Rakyat. Oleh itu, usah kita terlalu menghitung kerakusan tersebut sehingga menenggelamkan personaliti BN yang sebenar. Disamping itu, pada pendapat saya secara peribadi kami masih belum boleh menerima rakan akrab kami UMNO untuk bergabung bersama PAS sebagai satu parti. Ianya akan membawa ketidakfahaman yang lebih parah di kalangan parti komponen khususnya di peringkat akar umbi. Oleh itu, kita perlu memberikan masa yang lebih realistik bagi membincangkan penyatuan tersebut lebih lebih lagi dalam kekusutan politik sekarang. Tumpuan yang lebih nyata perlu ke arah penjenamaan BN sebagai tonggak pembela Rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini.
Sehubungan itu, kenyataan Tok Mat adalah pendirian yang profesional demi langkah pengukuhan semula BN dengan penelitian yang mendalam bagi menghadapi dugaan dan cabaran politik akan datang. Pastinya melalui percaturan yang bijak BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Tok Mat penguasaan Putrajaya pasti menjadi milik kita BN.
RAMIS BALAKRISHNAN
Ketua Pemuda
MIC Negeri Sembilan